Thursday, November 18, 2010

KUFUR NIKMAT KERUGIAN MANUSIA

Sheikh Ibnu 'Atoillah telah mengingatkan kita tentang nilai waktu menerusi kalam hikmahnya: "Apa yang telah terluput daripada umurmu tidak ada gantiannya, dan apa yang telah terhasil daripada umurmu, tiada ukuran nilai harganya."

Memanfaatkan masa

Mensia-siakan hak waktu bererti mensia-siakan umur yang begitu berharga kerana umur yang telah berlalu tidak akan kembali lagi. Apabila kita membiarkan ia berlalu tanpa melakukan sebarang amal soleh, maka kita telah terlepas daripada kebaikan yang amat banyak.




Allah berfirman yang bermaksud: Dan sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya; dan sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada Hari Kiamat kelak); kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna. (al Najm: 39-41)

Sabda Rasulullah SAW ini wajar dijadikan renungan: "Tidak datang kepada seseorang hamba satu waktu yang tidak disebut nama Allah di dalamnya melainkan akan mendatangkan penyesalan kepadanya pada Hari Kiamat kelak."

Apabila waktu telah pergi, ia tidak akan dikecapi kembali, dan tiada suatu pun yang lebih mulia daripada waktu. Al Hasan al Basri RA berkata: Saya pernah menemui beberapa kaum yang begitu menjaga dan mengasihi diri dan waktu mereka melebihi daripada penjagaan mereka terhadap dinar dan dirham. Sebagaimana seseorang itu tidak mengeluarkan dirham dan dinar melainkan pada perkara yang mendatangkan manfaat dan faedah kepada dirinya, dia juga tidak akan mensia-siakan diri mereka pada perkara-perkara yang tidak menjurus kepada ketaatan kepada Allah.

Para salafussoleh begitu berhati-hati dan tamak menjaga masa mereka sehinggakan Sayyiduna Ali RA pernah berpesan kepada isterinya Sayyidah Fatimah RA supaya melembutkan dan mencairkan masakan bagi mengurangkan masa mengunyah makanan yang mencuri masanya untuk bertasbih.

Menunda amal

Hari ini, kita melihat ramai manusia yang mengambil sikap menangguhkan waktu beramal atas alasan pekerjaan dan urusan dunia yang lain. Sheikh Ibnu 'Atoillah, seorang yang sangat tinggi pengalamannya dalam menghidupkan amalan salafussoleh dan dunia tarbiah menegaskan bahawa sikap gemar menunda amal kebaikan pada waktu ada kelapangan dengan kesibukan dunia, adalah suatu kebodohan.

Ketahuilah! Menangguhkan suatu amalan disebabkan urusan duniawi kerana menantikan masa lapang adalah suatu kebodohan kerana kamu lebih mengutamakan dunia daripada akhirat sedangkan kesibukan dunia tidak akan pernah habis. Kesibukan dengan pekerjaan dan kesibukan dunia akan menghalang seseorang itu daripada melakukan amal kebaikan yang akan menyambungkan hubungannya dengan hadrat Tuhannya.

Menangguhkan amalan kebaikan kerana urusan duniawi dianggap sebagai suatu kebodohan kerana tiga perkara:

1. Mendahulukan dunia dari akhirat. Ini bukanlah sifat orang Mukmin yang berakal dan ia bercanggah dengan tuntutan Allah. Firman Allah SWT: Bahkan kamu utamakan kehidupan dunia, padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal. (Al A'la: 16-17)

2. Menunda amal kerana menanti akan ada masa lapang kadang kala tidak diperoleh. Bahkan, kadang kala maut lebih dahulu menjemput ajalnya ataupun pekerjaannya menjadi semakin banyak dan sibuk kerana kesibukan duniawi adalah satu perkara yang saling tarik menarik dan bertali arus. Sebagaimana yang disebut oleh penyair: "Maka tidak akan habis-habis kehendak seseorang dari dunia ini, dan tidak akan berkesudahan suatu keperluan melainkan berkehendak kepada keinginan yang lain pula."

3. Berkemungkinan kesempatan waktu untuk beramal itu diperoleh ketika dia tidak lagi bersemangat untuk beramal, ataupun ketika dia telah menukar niatnya. Oleh sebab itu, wajiblah seseorang itu bersegera melakukan amal dalam apa jua keadaan sekalipun, dan dia perlu merebut segala peluang sebelum tibanya maut dan terluputnya masa atau kesempatan, di samping bertawakal kepada Allah bagi mendapat kemudahan dalam urusannya dan menjauhkan segala rintangan yang menghalangnya membina dan merapatkan hubungan dengan Allah.

Allah berfirman: Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas seluruh langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. (Ali Imran: 133)

Di antara tanda orang yang mengenal Allah ialah sempurna akalnya dan tajam pemikirannya. Tanda orang yang berakal ialah bersegera melakukan suatu amal. Mengejar umur, tidak boleh ada padanya sebarang penangguhan kerana apa yang terluput daripadanya tidak akan berganti dan apa yang terhasil daripadanya tidak ternilai harganya. Di dalam hadis Rasulullah SAW bersabda: "Ingatlah! Di antara tanda orang yang berakal ialah menjauhi dari dunia yang menipu, kembali ke negara yang kekal abadi, menyiapkan bekalan untuk mendiami kubur dan bersiap sedia untuk Hari Kebangkitan."

Sabda Rasulullah SAW lagi: "Orang yang berakal ialah orang yang menahan nafsunya dan beramal untuk selepas mati. Manakala orang yang bodoh ialah orang yang mengikut kehendak nafsu dan suka berangan-angan ke atas Allah."

Di dalam Suhuf Nabi Ibrahim AS menyebut: "Hendaklah orang yang berakal yang tidak ditewaskan oleh akalnya mempunyai beberapa waktu; waktu bermunajat dengan Tuhannya, waktu muhasabah dirinya, waktu bertafakur tentang kejadian Allah dan waktu dikosongkan untuk menunaikan hajatnya daripada makan dan minum."

Orang yang menangguhkan amalnya ialah orang yang bukan sahaja bodoh tetapi tertipu. Dari manakah jaminan yang kamu peroleh untuk sampai kepada waktu tersebut, sedangkan maut sentiasa menanti masa untuk menerkam kamu, ketika kamu tidak menyedarinya?

Rasulullah SAW bersabda: "Dua nikmat yang sering menjadi kerugian kebanyakan manusia ialah nikmat kesihatan dan waktu lapang." Kebanyakan manusia tidak dapat menggunakan kesempatan ini melainkan sibuk dengan dunianya, terfitnah dengan nafsunya atau ditimpa sakit.

Kesimpulan daripada hadis ini, hanya segelintir manusia yang dikurniakan nikmat kesihatan dan kelapangan waktu. Sekiranya mereka dapat memakmurkannya dengan amalan ketaatan kepada Tuhan, maka mereka mensyukurinya dan mendapat keuntungan yang besar. Sekiranya mereka mensia-siakannya, mereka akan mendapat kerugian yang nyata dan kufur dengan kedua-dua nikmat ini. Bahkan, ia juga merupakan tanda kesedihan.

Syeikh Ibnu 'Atoillah RA berkata: "Perkara yang paling menyedihkan, setelah dikurangkan halangan kamu, kamu pula tidak mengadap-Nya." Semoga kita dapat mengambil iktibar. Orang yang hidup akan terasa sekiranya ditusuk dengan jarum. Tetapi orang yang mati tidak akan terasa sekalipun dipotong dengan pedang-pedang yang tajam. Renungilah!!


SUMBER :Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

No comments:

Post a Comment